Jumat, 11 Januari 2013

Kemerdekaan Republik Indonesia


Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Merdeka ! Merdeka !
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah

Tanggal 31
Bulan lapan lima puluh tujuh
Hari yang mulia
Hari bahagia
Sambut dengan jiwa yang merdeka

Mari kita seluruh warga negara
Ramai-ramai menyambut hari merdeka
Merdeka !
Tiga satu bulan lapan lima puluh tujuh
Hari mulia negaraku merdeka

Itulah bait-bait lagu Allahyarham Sudirman yang menjadi kegemaranku sejak kecil. Dalam ingatan minda sedar aku inilah kali pertama sambutan kemerdekaan Malaysia diadakan dalam bulan Ramadhan. Semoga Malaysia sentiasa dirahmati oleh Allah.

Atuk dan nenekku selalu bercerita tentang kehidupan mereka semasa masih dijajah (sebelum merdeka). Selalu terngiang-ngiang mereka berkata ubi kayu dan ikan masin adalah makanan ruji mereka tidak seperti sekarang, kita sangat mewah dengan makanan dan perasaan takut akan penjajah sudah tidak lagi membelenggu generasi kini.

Tapi atuk dan nenek sudah tiada, yang masih ada untuk bercerita pasal semua itu adalah bapaku yang juga sempat merasakan kehidupan sebelum merdeka.

Hari ini genaplah kemerdekaan Malaysia yang ke-52 tahun. Kalau hendak disamakan dengan manusia, hanya tinggal 3 tahun lagi untuk menempuh alam persaraan. Semestinya, usia 52 tahun adalah peringkat umur yang sudah cukup dewasa dan matang.

Adakah kita rakyat Malaysia sematang usia negara kita? Dengan polemik politik kini, aku bertanya kepada diriku sendiri, adakah kita merdeka sepenuhnya? Adakah ini yang dikatakan merdeka? Adakah ini yang dinamakan bebas? Bebas untuk membuat sesuka hati kita untuk kepentingan diri sendiri tanpa menghiraukan orang lain? Adakah konsep 1 Malaysia penyelesaian kepada semua ini?

1 Malaysia? Hmmm... aku suka perkataan itu dan aku suka konsepnya, cuma berkata-kata sahaja tidak memadai kerana apa sahaja yang diperkatakan haruslah disusuli dengan tindakan kalau tidak itulah yang dinamakan sebagai NATO (No Action Talk Only).

Dalam diriku, sudah lama aku mengamalkan 1 Malaysia, sejak di bangku sekolah, aku tidak punya masalah untuk tidur sebilik dengan rakan-rakan yang berlainan bangsa dan agama. Sebab apa yang penting, kita haruslah hormat-menghormati antara satu sama lain, kita haruslah memberi ruang kepada mereka sebagaimana kita mengharapkan mereka memberikan ruang kepada kita.

Dan kini, aku semakin dewasa dan semestinya ruang itu haruslah aku buka lebih luas lagi merangkumi aspek hak dan kepentingan bersama (win-win situation) dalam dunia kehidupan yang sebenar. Seboleh mungkin, aku cuba elakkan perasaan dan perlakuan pilih kasih.

Pilih kasih? Ya, pilih kasih atau perkataan lebih moden tetapi merumitkan - birokrasi. Birokrasi adalah perkataan yang seharusnya dikikis dalam perlaksanaan membudayakan 1 Malaysia. Adakah kita sudah bersedia untuk itu? Tepuk dada, tanyalah selera.

Selamat ulang tahun kemerdekaan yang ke-52, semoga bumi Malaysia sentiasa dibawah perlindungan Allah, semoga kita sentiasa diberikan rahmat dan kasih sayang-Nya dan sama-samalah kita menghayati erti kemerdekaan yang sebenar.

Jutaan terima kasih kepada wira yang berjuang untuk memerdekakan Malaysia, tanpa mereka kita tidak akan dapat mengecapi apa yang kita miliki kini.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar